Monday 18 April 2022

 

DARI FAIL PUSAKA # 11

Saya tak boleh tidor.

Fakta kes:

 

Satu hari di bulan Ramadhan ketika saya di pejabat. Didatangi seorang wanita agak berumur berjumpa dengan kerani di kaunter. Beliau menyatakan hasratnya untuk berjumpa pegawai.

 

Pegawai: “Ya mak cik, boleh saya bantu”. (saya ketika itu masih muda, wanita ini sekitar 60’an).

Mak cik : “Encik, Saya datang nak mengadu. Saya sejak akhir-akhir ni tak boleh tidor. Saya selalu fikir kalau boleh sebelum saya mati, saya nak rasa jugak harta pusaka ayah saya”.

Pegawai: “Apa masalahnya mak cik?”

Mak cik: “Ayah saya dah mati 15 tahun dulu. Sejak ayah mati, abang saya kuasai seorang tanah kebun getah ayah, 5 ekar semuanya. Kami dua beradik je. Dia tak bagi kat saya. Hasil getah dia makan sorang. Memikirkan perkara ni, saya dah seminggu tak boleh tidor. Sebab tu saya datang nak mengadu.”

 

(Pegawai pusaka boleh bertindak menyelesaikan harta pusaka setelah permohonan untuk membahagikan harta pusaka difailkan. Tanpa permohonan, saya tak boleh buat apa-apa. Entah bagaimana datang idea…

 

Pegawai: “Mak cik sihat”.

Mak cik : “Alhamdulilah, saya sihat”.

Pegawai: “Mak cik anak berapa orang”.

Mak cik: “Anak saya lima orang”.

Pegawai: “Anak makcik kerja apa”.

Mak cik : “Alhamdulilah, semua makan gaji, ada pensyarah, guru dan pegawai kerajaan”.

Pegawai: “Mak cik, saya nak tanya. Abang sihat ke ”.

Mak cik: “Dia kurang sihat. Selalu berulang alik ke klinik, hospital”.

Pegawai: “Anak abang berapa orang”.

Mak cik: “Anak abang tiga orang”.

Pegawai: “mereka kerja apa”.

Mak cik: “Mereka kerja sendiri, entahlah kerja apa, mak cik pun tak tahu”.

Pegawai: “Mak cik nampak tak apa yang tuhan dah bagi kat mak cik. Cuba mak cik renungkan.  

                   Cuba fikirkan. Mak cik nampak ke tidak”.

Mak cik: “Ya, saya Nampak. Saya faham maksud encik.  Saya balik dulu”.

 

Selang satu minggu, mak cik datang sekali lagi ke pejabat saya.

Mak cik: “Encik, saya datang ni sebab saya tak dapat tidor pulak”.

Pegawai: “Apa halnya pulak mak cik?”.

Mak cik: “Saya kesiankan abang saya. Dia susah. Banyak musibah berlaku ke atas keluarganya.

Saya rasa mungkin sebab selama 15 tahun saya selalu doakan yang tak baik kepada abang saya. Dulu saya cukup marah dia makan sorang harta pusaka. Tapi selepas jumpa encik minggu lepas saya rasa bersyukur atas nikmat tuhan berikan kepada saya. Saya sihat dan anak anak saya semua berjaya.

Sebaliknya saya rasa sangat bersalah kerana mendoakan keburukan untuk abang. Mungkin dengan doa saya tuhan makbul jadi abang sentiasa dilanda musibah. Memikirkan perkara ni saya susah hati dan tak dapat tidor pulak”.

Pegawai: “Jadi, apa cadangan mak cik”.

Mak cik: “Saya rasa tanah getah 5 ekar tu bahagian saya, saya nak serahkan kepada abang saya.                           Biar dia makan harta yang halal. Saya halalkan juga apa yang dia ambil hak saya selama 15                    tahun dulu”.

Pegawai: “Alhamdulilah. Mak cik lepas ni mak cik pergilah jumpa abang dan buat permohonanuntuk                 bahagi pusaka supaya selesai tanah getah tu didaftarkan dengan nama abang seorang. Besar                    pahala makcik tambahan pula lening bulan Ramadhan. Mak cik bebaskan abang dari terus                      berdosa makan harta haram. Mak cik dapat pahala hibah kerana serah bahagian mak cik kepada                abang. Mudah mudahan keluarga makcik dan keluarga abang bersatu semula”.

 

Minggu berikutnya mak cik datang lagi menyerahkan borang permohonan untuk membahagikan harta pusaka. Sampai masanya mak cik dan abang datang untuk bicara pusaka.

 

Keputusan:

Tanah getah seluas 5 ekar diturun milik kepada Awang bin Busu semua bahagian.

 

KES SELESAI.

Tuesday 1 June 2021

 

DARI FAIL PERUNDING # 1

PENAMA KWSP – bukan milik penama.

Fakta kes:

 

Satu petang, Rokiah datang ke pejabat ditemani oleh adik lelakinya.

 Rokiah: Ustaz, saya datang ni nak mintak tolong ustaz bahagikan duit pusaka arwah suami saya.

Ustaz: Duit apa tu.

Rokiah: Duit KWSP.

Ustaz: Duit tu ada di mana sekarang?

Rokiah: Ada dalam akaun saya. Saya sebagai penama. KWSP dah transfer ke akaun saya. Jadi saya nak mintak tolong ustaz bahagikan mengikut hukum faraid.

Ustaz: Berapa jumlah duit tu?

Rokiah: RM500,000.00

Ustaz:  (Owhh. Terkejut. Tak sangka, wanita ni nampak biasa sahaja. Duit sudah di tangan. Tapi mintak difaraidkan).

Ustaz: Banyak duit ni. Duit sudah dalam tangan. Tak kelabu mata ke?

Rokiah: Ustaz, setakat ni belum kelabu mata lagi, tuhan jaga saya. Saya tak mahu makan duit orang. Duit haram.

Ustaz: (Masyaallah!!, mulianya hati wanita ini).

Ustaz: Siapa warisnya?.

 Setelah siasatan waris, ternyata si mati hanya meninggalkan isteri, ibu, bapa dan 3 orang adik beradik. Si mati tidak mempunyai anak.

Ternyata waris yang berhak ialah: isteri, ibu dan bapa. Adik beradik terdinding oleh bapa. Tetapi maklumat tentang adik beradik diperlukan bagi menentukan bahagian ibu.

 Ustaz: Bahagian puan sebanyak 1/4, iaitu RM125,000.00 selebihnya kepunyaan ibu dan bapa si mati.

Rokiah: Nanti esok saya datang lagi dan bawakan ibu dan bapa si mati. Duit bahagian mereka saya akan transfer ke akaun mereka.

 Alhamdulilah, masih ada yang berhati mulia.....

Monday 7 October 2019


DARI FAIL PUSAKA # 10
Baiknya isteri muda.
Fakta kes:

Maliki berkahwin kali pertama dengan Salbiah dan telah dikurniakan seramai 6 orang anak; 4 lelaki dan 2 perempuan. Kemudian berkahwin pula dengan Kamariah sebagai isteri kedua.
Lima bulan selepas berkahwin dengan Kamariah, ditakdirkan Maliki sesak nafas dan meninggal dunia. Disahkan Maliki terkena serangan jantung.
Enam bulan selepas kematian, Salbiah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka suaminya Maliki.
Harta peninggalan: 2 buah kereta, sebuah rumah kediaman, dua bidang tanah dan duit simpanan di bank.

Pegawai: “Puan Salbiah, harta pusaka ni nak bahagi macam mana?”
Salbiah : “Saya pun tak pasti lagi sebab belum bincang”.
Pegawai: “Puan Kamariah. Ada apa apa cadangan?”
Kamariah: “Ya Tuan, saya mahu kereta yang dibelikan untuk saya sahaja. Harta harta lain saya serahkan kepada isteri pertama dan anak anak arwah”.
Pegawai: “Puan Kamariah, puan tahu bahagian puan mengikut faraid”.
Kamariah: “Saya tahu tuan, bahagian isteri 1/8 dan dibahagikan sama banyak antara saya dengan Salbiah”.
Pegawai: “Mengapa tak mahu tuntut harta harta lain, puan pun berhak juga”.
Kamariah: “Saya mahu pendekkan cerita. Moga arwah tenang di sana”.
Pegawai: ( Ishh, masyaallah!).

Keputusan:
Kereta kancil diserahkan kepada Kamariah, manakala harta lain dibahagikan dalam kalangan isteri pertama; Salbiah dan anak anaknya.

KES SELESAI.

Wednesday 18 September 2019


DARI FAIL PUSAKA # 9

Alahai, bapa tiriku.

Fakta kes:

Azizah pada mulanya berkahwin dengan Said dan dikurniakan seramai 3 orang anak. Semua lelaki. Banyak makan daging agaknya. Said meninggal dunia.
Enam bulan sesudah harta pusaka Said difaraidkan,  Azizah telah berkahwin pula dengan Pak Soh (Jusoh) seorang peniaga di pasar. Malangnya selepas dua minggu berkahwin, Azizah tiba tiba sakit dada dan meninggal dunia.
Anak sulung kepada Azizah, Mokhtar telah membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka ibunya Azizah tanpa memasukkan nama bapa tirinya, Jusoh.

Pegawai: “Encik Mokhtar, si mati berkahwin berapa kali?”
Mokhtar : “Dua kali Tuan, mula ibu saya kahwin dengan ayah saya, Said bin Osman. Ayah mati dulu tahun 2000. Kemudian ibu kahwin pula dengan Jusoh. Dua minggu selepas kahwin ibu meninggal dunia”.
Pegawai: “Mengapa tak masukkan nama Jusoh, bapa tiri, dalam borang permohonan?”
Mokhtar: “Dia tak mahu bagi salinan kad pengenalan, Tuan. Katanya jangan menyusahkan dia. Dia tak ada kena mengena dengan pusaka ni kerana harta pusaka ni bukan harta sepencarian dengannya. Dia kata, ini asalnya harta Said, ayah saya.

Kes ditangguh. Mokhtar diminta membawa bapa tirinya ke pejabat.

Pada hari ditetapkan, Jusoh hadir bersama 3 anak tirinya.
Dalam bilik perbicaraan, Jusoh berdiri dengan bercekak pinggang. Marah.

Jusoh: (Nada tinggi)“ Encik, mengapa panggil saya ke pejabat?. Saya tak ada kena mengena dengan pusaka ni. Hari ni saya rugi RM50 kerana tak berniaga”. (Jusoh nampak tak puas hati).
Pegawai: “Pak Soh, bertenang, duduk dulu”.
Jusoh:  (Pak Soh duduk).
Pegawai: “Pak Soh, Azizah tu siapa?.”
Jusoh: “Isteri saya. Baru kahwin dua minggu, dia meninggal. Harta ni tak ada kena mengena dengan saya. Ini harta dia dengan suami dia yang dahulu. Mengapa panggil saya ke pejabat?”.
Pegawai: “Pak Soh, bila seorang tu kahwin walaupun satu hari, dan isterinya meninggal, suami dapat bahagian ‘kepala mayat’ (istilah orang Terengganu). Tak kira harta tu daripada mana asalnya. Sebab tu kita panggil Pak Soh mari pejabat”.
Jusoh: (Terkejut, macam tak percaya je) “Jadi saya dapatlah pusaka ni Encik?”.
Pegawai: “Ya, Pak Soh”.
Jusoh: “Kalau dapat, berapa banyak bahagian saya?”.
Pegawai: “1/4”.
Jusoh: (Terkejut) “Owh! Banyaknya. Nasib baik panggil saya mari  pejabat”.

Kami semua gelak, kah kah kah.
Sebelum balik, 4 kali Jusoh bersalaman dengan pegawai sambil tak berhenti mengucapkan terima kasih kerana panggil dia datang ke pejabat.
Azizah meninggalkan 2 ekar tanah. Semestinya bahagian Jusoh sebanyak 1/2 ekar.

KES SELESAI.




DARI FAIL PUSAKA # 8

Bonus Raya, kerana mu adik-beradik ku.

Fakta kes:

Si mati, Awang bin Abu. Seorang tukang kayu.
Kematiannya meninggalkan 7 orang anak. Empat lelaki dan 3 perempuan.
Harta peninggalan hanya sebidang tanah kategori pertanian seluas 0.5 ekar
Selepas 3 bulan kematian Awang, anak-anak simati bersepakat untuk menyelesaikan harta pusaka bapa mereka. Persetujuan diperolehi untuk menjual tanah pusaka ini kepada anak kelima, Samsudin. Seorang kontraktor.

Pemohon untuk membahagikan harta pusaka ialah Ahmad Zaki, anak sulung.

Pegawai : “Encik Zaki, tanah ni nak bahagi macam mana?”
Pemohon : “Kami sudah bincang dan kami bersetuju tanah ini dijual kepada adik kami yang bernama Samsudin”.

Pegawai : “Berapa harganya?”.
Pemohon : “Kami setuju mengikut sebagaimana nilaian pejabat”.
Pegawai : “Mengikut nilaian pejabat, harganya ialah RM60,000”.

Nota: Setiap permohonan untuk membahagikan harta tak alih di Pejabat Pusaka Kecil, akan dihantar ke Jabatan Penilaian untuk dinilai mengikut harga pasaran.

Pemohon : “Saya mewakili adik beradik saya setuju dengan nilaian tu, tuan”.
Pegawai : “Encik Samsudin, benar ke kamu nak beli tanah ni dengan harga RM60,000 ?”.
Samsudin : “Benar tuan, saya setuju beli tanah pusaka ni, tapi saya akan bayar RM80,000”.
Pegawai : “Encik Samsudin, mengapa bayar lebih”?.
Samsudin : “Adik-beradik saya”.
Pegawai : “Duit pusaka ni nak bahagi macam mana?”.
Pemohon : “Saya cadang dibahagi sama banyak”.
Waris-waris : “Kami semua setuju”.
Pegawai : “Encik Samsudin, bila nak dijelaskan bayaran?”.
Samsudin : “Saya akan jelaskan hari ini juga”.
Pegawai : (Pelik juga ya, selalunya kalau adik beradik mintak dikurangkan harga).


Semua waris menarik nafas lega. Ketika keluar bilik bicara, semua bersalaman dengan Samsudin sambil mengucapkan berbanyak terima kasih. Hari Raya Aidil Fitri tak lama lagi.

Keputusan : Tanah si mati diturun milk kepada Samsudin bin Awang. Samsudin hendaklah membayar kepada waris waris harga tanah tersebut sebanyak RM80,000 dan dipersetujui dibahagikan sama banyak.

KES SELESAI.

Wednesday 29 May 2019


DARI FAIL PUSAKA # 7

 DIA BOLEH HALALKAN, KITA BAGAIMANA?.

Situasi:

Si mati, Abdul Karim seorang kontraktor kecil-kecilan membaiki dan ubah suai rumah atau bangunan telah meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang isteri dan 5 orang anak; 2 lelaki dan 3 perempuan.

Mengikut hukum syarak, hutang wajib dilunaskan terlebih dahulu oleh waris waris sebelum harta pusaka difaraidkan.

Pemohon untuk membahagikan harta pusaka ialah isteri si mati.

Pegawai : “Puan, simati ada meninggalkan hutang atau tidak?.
Pemohon : “Ada tuan”.

Pegawai : “Hutang dengan siapa?.
Pemohon : “Arwah suami saya ada ambil barang dengan tauke Cina Ah Lek. Tak sempat bayar,
         dia meninggal”.
Pegawai : “Berapa jumlah hutang tu?”.
Pemohon : “Saya tak pasti, tapi setahu saya RM4,000 lebih”.

Pegawai : “Bagaimana nak jelaskan hutang ni”.

Pemohon : “Tak pasti. Sekarang tak ada duit lagi”.
Pegawai : “Saya tangguhkan dulu perbicaraan ni. Kita panggil taukeh Cina tu datang untuk perbincangan”.

Kes ditangguh dua minggu. Pada hari ditetapkan waris hadir bersama Taukeh Cina Ah Lek.

Pegawai : “Ah Lek, kamu kenal Abdul Karim?”.
Ah Lek : “Ya, dia kawan sama saya”.

Pegawai : “Saya nak tanya, Abdul Karim ada hutang dengan kamu?”
Ah Lek : “Ada ooo, dia hutang sama saya ampat libu ooo (RM4,000)”.
Pegawai : “Jadi macam mana waris nak bayar hutang tu”.
Ah Lek : “Tak pa, dia sudah mati ooo, tak payah bayar. Kalau dia hidup, saya mahu wang tu. Tapi sekalang dia sudah mati, tak payah bayar”.
Pegawai : “Kamu halal ke?”.
Ah Lek : “Ya betul, saya halal”.
Pegawai : (MasyaaaaAllah!!! …..).

Keputusan : Hutang tak perlu dibayar. Harta si mati diturun milik kepada waris waris mengikut hukum faraid.

KES SELESAI.



DARI FAIL PUSAKA # 6

 TUNAIKAN TANGGUNGJAWAB WALAUPUN HABUAN TIDAK BERBALOI.

Situasi:

Sememangnya bagi kematian yang sudah berpuluh tahun lamanya hendak diselesaikan, akan menyebabkan jumlah waris yang ramai.

Bagi waris yang sudah jauh hubungannya dengan tuan punya harta, seperti cucu atau cicit, bahagian mereka sudah tentu tidak seberapa.

Bagi kes ini, jumlah waris yang berhak adalah seramai 19 orang. Semua waris hadir.

Perbicaraan di Alor Setar, Kedah.

Harta peninggalan: sebidang tanah bendang. Nilaiannya, RM10,000.00.

Selesai pomohon memberi keterangan, salah seorang waris yang hadir telah bersuara:

Osman : “Tuan, boleh saya Tanya?”.
Pegawai : “Ya, silakan”.
Osman : “Boleh saya tahu berapa duit yang saya dapat?”.

Setelah dibuat pengiraan berdasarkan kepada bahagian Osman mengikut Sijil Faraid:

Pegawai : “Nilaian tanah RM10,000.00. Bahagian Encik Osman sebanyak RM6.61”.
Osman : “Saya sudah jangka saya dapat sikit sebab saya cicit kepada si mati”.
Pegawai : “Sebenarnya, Encik boleh tanda tangan Surat Persetujuan (Borang DDA) dan tak   
                   perlulah hadir”.
Osman : “Saya datang dari Kuala Lumpur. Saya sedang buat ijazah master. Saya datang bukan
    kerana nakkan harta pusaka ni, Tuan. Saya datang hari ni kerana 2 sebab:
Pertama: saya nak kenal saudara mara saya yang selama ini memang saya tak pernah       jumpa. Hari ni semua ada.
   Kedua: Saya takut kalau saya tak datang, pusaka ni tak selesai. Saya takut berdosa”.

Pegawai : “Terima kasihlah En. Osman kerana datang hari ni, tunai tanggungjawab”.

Osman : “Tuan, boleh saya ambil gambar video dalam perbicaraan ni. Saya nak buat kenangan”.
Pegawai : “Saya benarkan”.

Atas persetujuan semua waris, tanah pusaka ini diserahkan kepada “kepala kuasa” (pemohon) seorang.

KES SELESAI.

Selepas selesai perbicaraan:

Pemohon : Semua adik beradik (waris yang hadir) jemput ke rumah saya untuk makan tengahari. Saya buat kenduri sikit.

Pegawai : (Dalam hati), saya dia tak jemput pun, ishhh…


DARI FAIL PUSAKA # 5

 IKHLAS

Fakta kes:
Si mati Sabariah binti Ngah.
Meninggalkan waris lima orang anak. Tiga lelaki dan dua perempuan. Sabri, Yusuf, Alwi, Rohana dan Mas Ayu. Suami dan ibu bapa telah mati dahulu.

Harta peninggalan: dua bidang tanah dan duit simpanan di sebuah bank RM30,000.00.

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh Sabri selaku anak sulung.

Pegawai: “Encik Sabri nak bahagi macam mana harta pusaka  ni?”.

Sabri:    “Saya pohon tanah arwah ibu dua keping geran, dibahagi mengikut hukum faraid.     Masuk semua nama dalam geran”.

Pegawai: “Duit nak bahagi macam mana?”

Sabri: “Duit simpanan ni saya pohon diserahkan kepada Rohana seorang”.

Rohana: (Terkejut), “Kenapa bagi kat saya sorang abang?. 

Sabri: “Kamu yang jaga mak. Mak sakit tiga tahun. Kami cuma ziarah je. Kami dah bincang 4 beradik ni, setuju serah duit ni kepada kamu sorang”.

Rohana: “Abang, saya ikhlas jaga mak. Saya tak mintak balasan pun”.

Mas Ayu: “Kak, memang kami dah bincang tadi, kami nak balas pengorbanan kak jaga mak yang lumpuh. Kami tahu betapa susahnya kak jaga mak. Kami pun ikhlas kak, ambillah”.

Yusuf : “Abang pun ikhlas serah kepada Ana, ambillah Ana!”.

Alwi : “Saya pun serah kepada Ana, ambillah. Kami semua sebulat suara setuju”.

Rohana: Tapiiii…..

Tetiba suasana menjadi sepi dan suram. Kelima-lima anak Sabariah mengesat air mata yang bergenang di kelopak mata masing masing.

Allahu, Allah menunjukkan kepada ku erti ikhlas yang sebenarnya.

Keputusan:

Dengan ini diperintahkan 2 bidang tanah si mati dibahagikan kepada 5 orang anak mengikut hukum faraid dan duit simpanan si mati diserahkan kepada Rohana seorang.

KES SELESAI.

Friday 11 January 2019


DARI FAIL PUSAKA # 4

Jasa mu di kenang jua.

Fakta kes:

Si mati Osman bin Zailani.
Meninggalkan waris hanya dua orang anak sahaja. Seorang lelaki (Sofian) dan seorang perempuan (Suriati).

Harta peninggalan: dua bidang tanah dan duit simpanan. Kesemuanya berjumlah RM150,000.00

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh Sofian selaku abang (anak sulung).

Pegawai: “Encik Sofian nak bahagi harta pusaka ni macam mana?”.
Sofian:    “Saya dua beradik sahaja dengan adik perempuan saya.
 Saya tahu bahagian saya 2 bahagian, tapi saya dengan ikhlas hati pohon supaya semua harta     pusaka ini dibahagi sama banyak dengan adik saya”.
Pegawai: “Puan Suriati, kamu setuju ke?”
Suriati:   (nada perlahan) “Saya tak setuju, Tuan”.
Sofian:   (Terkejut), “Kenapa Su tak setuju. Abang bukan ambil lebih. Kita bahagi 
                sama banyak. Kita dua beradik je”.
Suriati: “Suami saya ada bang”.
Sofian: “Tak ada kena mengena dengan suami Su. Ini urusan kita berdua je”.
              (Sofian Nampak gelisah. Air mukanya berubah).
Pegawai: “Jadi puan tak setujulah dibahagi sama banyak”.
Suriati: “Abang!, semua harta pusaka ni saya serah ke abang”.
Sofian:  (Nampak makin gelisah). “Kenapa Su. Apa yang tak kena. Su merajuk ke?”.
Suriati: “Abang, sebenarnya Su nak balas budi abang. Dulu abang “bergolak 
              bergadai” tanggung Su   belajar. Sekarang Su dah kerja, ada suami, 
              hidup dah senang. Abang ambillah harta pusaka ni semua”.
Sofian:  (Tidak terkata.  Tidak dapat menahan diri, bergenang air dikelopak mata kerana
  sangat terharu).

Masyaallah. Orang berbudi kita berbahasa.

Keputusan:

Dengan ini diperintahkan tanah, rumah dan duit simpanan kepunyaan Osman bin Zailani diturun milik kepada Sofian bin Osman seorang sahaja.

Kes selesai.





Sunday 23 December 2018


DARI FAIL PUSAKA #3

Selalu juga dikatakan orang, kalau tak ada anak lelaki, susah jadinya. Bagaimana pula dengan kes ini?

Fakta kes:

Roslan mati dan meninggalkan seorang isteri, seorang anak perempuan berumur 10 tahun dan seorang saudara seibu sebapa lelaki bernama Rosmat.

Harta peninggalan adalah sebuah rumah teres bernilai RM80,000.00.

Permohonan untuk membahagikan harta pusaka dibuat oleh isteri si mati dan perbicaraan harta pusaka di hadapan saya berlangsung di Pejabat Pusaka, JKPTG Ipoh, Perak.

Pegawai: “Puan, rumah teres ni nak bahagi macam mana?”.
Isteri:     “Saya pohon dibahagi mengikut hukum faraid”.
Pegawai: “Maknanya rumah teres ni didaftarkan dengan 3 nama mengikut bahagian masing-masing?”. (Bertanya untuk kepastian).
Isteri:    “Ya, Tuan”.
Pegawai: “Encik Mat (Rosmat), Encik Tinggal di mana?”.
Rosmat: “Saya tinggal di Johor Bharu, Tuan”.
Pegawai: “Bila datang ke Ipoh?”.
Rosmat: “Semalam. Saya bermalam di hotel”.
Pegawai: “Encik setuju rumah teres ni dibahagi mengikut hukum Faraid?”.
Rosmat: “Tuan, bahagian saya, saya serahkan kepada anak saudara saya”.
Pegawai: “Benar ke Encik Mat tak mahu bahagian Encik?  Encik datang dari jauh. Bahagian Encik 3/8 bahagian. RM30,000.00”.
Rosmat: “Ya Tuan. Saya serahkan kepada anak saudara saya yang seorang ni. Dan saya berjanji akan tanggung (perbelanjaan) dia sehingga dia besar (dewasa)”.

Situasi:  Tidak semena-mena saya terlihat isteri si mati mengeluarkan sehelai tisu dari dalam beg tangannya lalu mengesat air mata yang mengalir keluar. (Terkejut dan terharu dengan kata kata Rosmat, agaknya).

Pegawai: (Tersentuh dalam situasi  dan terlintas di hati: Masya Allah, Allah telah menunjukkan kepada ku Hikmahnya).

Keputusan:

Sebuah rumah teres satu tingkat dibahagikan kepada:
Isteri                            1/8 bahagian.
Anak perempuan        7/8 bahagian.

Kes selesai.